Terima kasih sudi melawat blog asis

I am Muslim & I am not Terrorist

Translate to your Language
Statistic
Flag Counter

Thursday, February 18, 2010

Ahmed Hoosen Deedat Mempertahankan Kesucian Islam dengan Berdebat



Beliau kini terlantar lesu di atas katil di rumahnya. Namun, perasaan cintanya terhadap Islam dan keghairahan serta cita-citanya untuk terus berdakwah kepada masyarakat tetap membara. Itulah dia ulama Islam terkemuka, Sheikh Ahmed Deedat, 83, yang kini lumpuh seluruh badan sejak tujuh tahun yang lalu. Beliau kini dijaga dan dirawat di rumahnya oleh isterinya, Hawa sejak beliau diserang angin ahmar pada tahun 1996.


Sheikh Ahmed Deedat adalah seorang tokoh Islam yang popular di peringkat antarabangsa kerana pakar dalam membincangkan perbandingan agama. Beliau sering dijemput untuk bersyarah membincangkan soal agama Yahudi dan Nasrani sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Beliau kini sekadar dapat berinteraksi dengan mata dengan menggunakan sistem abjad secara berjadual yang dicipta khas bagi hubungan komunikasi dua hala dengan anaknya, Yousuf di rumahnya di di Verulam, Durban, Afrika Selatan.


Beliau berkomunikasi dengan mengelipkan kelopak matanya pada papan abjad, memilih abjad untuk membentuk perkataan, dan kemudian membentuk ayat yang dimaksudkan. Kaedah latihan beliau yang unik ini membolehkan beliau terlibat dalam perbincangan, juga untuk respons kepada sebarang pertanyaan.


Menurut Iqbal Jassat melalui tulisannya di dalam Times LENASIA bertarikh Ogos 1999, apabila Ahmad Deedat dimaklumkan bahawa Pejabat Media Review Network (MRN) terletak di Pretoria, Deedat lalu meminta satu naskhah buku karangannya berkaitan Islam dan Kristian yang berjudul The Choice dan meminta Iqbal merujuk pada muka surat tertentu yang berkaitan kunjungan beliau ke Pretoria pada tahun enam puluhan. Menurut Iqbal, suatu yang luar biasa di sebalik kecacatan yang dialami Deedat, daya ingatan dan mental beliau tidak terjejas. Deedat mungkin tidak boleh melafazkan kata-kata namun dia masih tidak hilang keupayaan untuk berkomunikasi.

Salah satu daripada sumbangan beliau yang sungguh bermakna adalah menghasilkan tulisan yang memudahkan orang bukan Islam melihat kebenaran Islam. Sebagai seorang ulama yang lantang dalam soal agama Islam, ramai pemimpin dan tokoh agama lain di dunia gagal berdebat dengan Sheikh Ahmad yang juga terkenal dengan kebijaksanaannya ketika berpidato dalam ilmu perbandingan.

Ahmad Deedat atau nama sebenarnya Ahmad Hoosen Deedat dilahirkan di Surat, India pada tahun 1918. Selepas dilahirkan, ayah beliau yang bekerja sebagai tukang jahit telah meninggalkan beliau sekeluarga kerana berhijrah ke Afrika Selatan. Hanya pada tahun 1927, beliau dapat bertemu dengan ayahnya apabila beliau mengikuti langkah ayahnya berhijrah ke Afrika Selatan.

Walaupun belum berpeluang memiliki pendidikan yang formal, Deedat memberanikan diri berhijrah demi mengubah dan memperbaiki taraf hidup keluarganya selama ini. Rupa-rupanya langkah untuk menyusul ayahnya merupakan perjumpaan terakhir dengan ibunya apabila ibunya meninggal dunia selang beberapa bulan selepas Deedat meninggalkan tanah kelahirannya.

Hidup di perantauan yang mempunyai perbezaan budaya, bahasa dan suasana persekitaran merupakan suatu yang mencabar. Namun kesemua faktor itu bukan penghalang beliau untuk merebut peluang yang tersedia. Beliau terus berusaha menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran. Berkat ketabahan, kegigihan dan kesungguhannya dalam mempelajari serta mengutip setiap peluang yang ada, pada usia 9 tahun, Ahmad Deedat yang tidak pernah mendapat pendidikan secara formal dalam bahasa Inggeris sebelumnya, telah berjaya menghadapi halangan bahasa untuk menjadi pelajar yang cemerlang di sekolahnya. Minat membaca serta kesungguhannya yang mendalam dalam menuntut ilmu membolehkan beliau mendapat keistimewaan daripada pihak sekolah sehingga beliau menamatkan darjah 6. Namun, kerana masalah kewangan, persekolahannya tergendala.

Pada awal usia 16 tahun beliau telah melibatkan diri dalam bidang perniagaan apabila bekerja sebagai jurujual. Pengalaman yang diperoleh sepanjang terlibat juru jual antara faktor utama yang mendorong beliau melibatkan diri dalam bidang dakwah sehingga ke hari ini. Pada ketika itu beliau bekerja di sebuah toko milik orang Islam. Toko itu terletak berhampiran sebuah sekolah menengah Kristian di Natal South Coast. Oleh sebab masyarakat Islam merupakan golongan minoriti di sana, mereka dipandang rendah oleh masyarakat tempatan. Pada suatu hari beberapa orang pelajar dari sekolah tersebut telah pergi ke toko tersebut. Berlaku suatu insiden yang tidak diduga sehingga menimbulkan pertengkaran kecil. Selepas insiden itu, beliau menerima penghinaan yang tidak henti-henti daripada pelajar yang merupakan bakal mubaligh-mubaligh Kristian itu. Mereka sering memperleceh ajaran Islam apabila beretemu dengan Dedat di toko tersebut. Pengalaman pahit ini telah melahirkan keazaman yang membara dalam diri anak muda ini untuk menentang propaganda dan dakyah palsu pelajar berkenaan.

Seolah-olah telah ditakdirkan, Deedat kemudian menemui sebuah buku berjudul Izharul-Haq yang bermaksud mengungkap kebenaran. Buku ini memaparkan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh umat Islam di India dalam menghadapi gangguan dan ancaman paderi-paderi Kristian semasa penaklukan dan penjajahan Inggeris di India. Secara tidak langsung idea untuk menangani debat telah tertanam kukuh di dalam jiwanya. Deedat telah membeli kitab Injil dan kemudian melakukan debat dan diskusi dengan pelatih-pelatih mubaligh Kristian. Bagaimanapun mereka berundur secara tergesa-gesa dan dengan tidak beradab kerana tidak mampu berhadapan dengan kefasihan dan kelantangan Deedat dalam berhujah. Pelatih tersebut kemudian memanggil guru mereka serta pendeta-pendeta di daerah tersebut.

Kejayaan Deedat berhadapan dengan pendeta-pendeta Kristian menjadi pendorong kepada beliau untuk terus menggiatkan usaha berdakwah kepada masyarakat. Selepas berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, beliau pernah menetap di Pakistan selama tiga tahun selepas negara tersebut memperoleh kemerdekaan. Kemudian kembali ke Afrika Selatan untuk meneruskan cita-citanya membela Islam. Beliau mengadakan kelas-kelas berkaitan pengajian Injil. Malah beliau telah mendirikan As-Salaam, sebuah institusi untuk melatih pendakwah-pendakwah Islam. Sepanjang penglibatannya dalam kegiatan dakwah, Deedat mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak mereka. Melalui institusi ini, mereka telah menaburkan pelbagai khidmat, termasuk mendirikan masjid dan pusat pendidikan yang masih kekal hingga ke hari ini.

Ahmad Deedat juga merupakan pengasas dan Presiden Islamic Propagation Centre International(IPCI), jawatan yang masih dipegangnya sehingga ke hari ini. Tokoh pendakwah yang gigih ini telah menerbitkan lebih daripada 20 buah buku dan mengedarkan berjuta-juta naskhah risalah dakwah secara percuma. Di peringkat antarabangsa, beliau telah di jemput berdebat dan mengadakan kuliah di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Sepanjang pembabitan dengan dakwah, beliau telah berdebat dengan ramai paderi Kristian. Atas usaha dan kesungguhannya itu, beribu-ribu orang yang pada mulanya prejudis terhadap Islam, menerima kebenaran apabila menganut agama Islam. Sebagai penghargaan terhadap jasanya dalam bidang dakwah, beliau telah menerima anugerah King Faisal International Award pada tahun 1986. Anugerah yang berprestij menghargai kegigihan dan pengorbanan seorang tokoh terhadap kemajuan Islam di peringkat antarabangsa.

Bagi Deedat, debat adalah satu bentuk muzakarah dalam mencari sesuatu kebenaran. Beliau berkata, keagungan peradaban Islam akan luntur beransur-ansur jika umatnya enggan kembali kepada amalan tradisi, iaitu bermuzakarah bagi menangani sebarang masalah yang dihadapi. Katanya, pergeseran di kalangan umat Islam sering didasari sikap taksub kepada fahaman tertentu yang pada pada anggapan penyokong fahaman tersebut adalah benar. Menurut Deedat, sikap taksub inilah punca utama berlakunya pelbagai bentuk perselisihan di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Malah lebih malang lagi perselisihan ini telah mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah sesama umat Islam.

Dalam usaha menjaga kemurnian ajaran Islam, Deedat juga pernah menghantar surat kepada Rashad Khalifah, tokoh berasal dari Tucson, Arizona Amerika Syarikat yang mendakwa dirinya Utusan Tuhan. Rashad Khalifa yang terkenal dengan teori komputer berkaitan al-Quran, menolak hadis dan sunnah Rasulullah. Dalam satu surat yang dihantar kepada Rashad Khalifa bertarikh 20 Mei 1988, Deedat telah mendesak Rashad menarik balik dakwaannya dan mengajak Rashad Khalifa berdebat dengannya di Madison Square Garden, New York. Namun Rashad Khalifa enggan bertemu dan melayan permintaan untuk berdebat yang ditawarkan oleh Ahmad Deedat.

Ahmad Deedat yang pernah melawat Malaysia, juga pernah corak kepimpinan Malaysia yang dianggapnya sebagai pemimpin dunia Islam yang berwibawa. “Saya mengagumi pemimpin awak, tetapi sayang belum pernah ada pemimpin Malaysia melawat bagi mendapat pandangan saya dalam menyelesaikan kemelut Islam masa kini.”

“Saya juga mengenali Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia pertama) dan beliau (Allahyarham) seorang pemimpin yang baik,” katanya kepada wartawan Malaysia sewaktu rombongan Malaysia mengunjungi beliau. Ahmed Deedat pernah berceramah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 21 Februari 1992, di samping berkunjung ke beberapa tempat termasuk Johor dan Selangor serta beberapa universiti tempatan.

Sesungguhnya, sumbangan Ahmad Deedat sangat bermakna buat perkembangan Islam di Afrika Selatan dan juga seluruh dunia. Kegigihan beliau dalam mempertahankan Islam daripada dicemari oleh propaganda agama lain patut dicontohi, dihargai dan diteruskan.

Sharing is caring ^_^

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...