Terima kasih sudi melawat blog asis

I am Muslim & I am not Terrorist

Translate to your Language
Statistic
Flag Counter

Friday, September 13, 2013

2 murid lemas dalam kolam tadahan

Polis dan anggota bomba dan penyelamat menunggu ahli keluarga mangsa lemas untuk membuat pengecaman sebaik mayat dinaikkan dari kolam tadahan air di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 12 Sept. - Empat murid yang mengambil kesempatan mandi di sebuah kolam tadahan air sempena cuti peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka ditemui mati lemas hari ini.
Kedua-dua mangsa, Mohd. Faris Izham Hisham dan Mohd. Shamin Abd. Karim, masing-masing berusia sembilan tahun merupakan rakan sekelas dan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Perda di sini.
Kejadian berlaku tengah hari ini ketika Mohd. Faris Izham dan Mohd. Shamin bersama dua lagi rakan mereka pergi ke kolam tadahan yang dalam pembinaan di belakang bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda.
Kesemua mereka yang tinggal di Apartmen Permata, Bandar Perda kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pergi ke kolam itu yang sedalam lebih 12 meter untuk mandi-manda.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap dalam tanah runtuh ketika mandi. Mayat mereka ditemui di dasar kolam itu kira-kira pukul 1.30 petang.
Seorang saksi yang juga Ahli Majlis MPSP, Rizal Hamid memberitahu, dia berada di belakang bangunan berkenaan dan ternampak dua kanak-kanak berlari dari arah kolam takungan itu sambil menjerit meminta tolong.
"Saya sedang menunggu satu mesyuarat yang dijangka bermula pukul 2 petang. Dua kanak-kanak itu meluru ke arah saya memberitahu rakan mereka lemas dalam kolam membuatkan saya segera menghubungi polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Rizal, dia kemudian memanggil beberapa orang rakan dan segera ke kolam itu sebelum menjumpai dua pasang kasut selipar dan baju berdekatan kawasan tersebut.
"Beberapa minit kemudian pihak bomba dan polis sampai untuk melancarkan gerakan mencari. Mayat kanak-kanak itu berjaya dinaikkan sebelum dihantar untuk bedah siasat di Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam," katanya.
Suasana sedih menyelubungi lokasi kejadian semasa proses pengecaman mayat dibuat oleh ahli keluarga dua kanak-kanak malang itu.
Sementara itu, ibu Mohd. Faris Izham, Roshiha Abd. Malek, 44, tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui anak tunggalnya meninggal dunia dalam kejadian itu.
Dia yang merupakan ibu tunggal ditemui di Unit Forensik hospital tersebut dilihat beberapa kali pengsan hingga terpaksa ditenangkan oleh anggota polis dan anggota keluarga terdekat.
Sementara itu, ahli keluarga Mohd. Shamin iaitu ibunya, Fatimah Mohd. Ramli, 44, dan kakak mangsa, Nur Aina, 15, pula dilihat menangis sepanjang proses bedah siasat dijalankan di hospital.
Jenazah kedua-dua murid ini dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tengah selepas solat asar hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130913/je_02/2-murid-lemas-dalam-kolam-tadahan#ixzz2eiI2TOz7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sharing is caring ^_^

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...