Terima kasih sudi melawat blog asis

I am Muslim & I am not Terrorist

Translate to your Language
Statistic
Flag Counter

Friday, September 13, 2013

Terus beri komitmen bangunkan ekonomi menjelang 2020

Najib Tun Razak sambil disaksikan oleh Dr. Mahathir Mohamad, Shigeru Nakamaru (kanan) dan Masato Nakamaru meletakkan kapsul masa dalam majlis Ulang Tahun Ke-30 Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (Jactim) di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Malaysia mengharapkan peranan dan komitmen berterusan daripada kerajaan Jepun dalam membangunkan ekonomi serta menjayakan matlamat negara ini mengejar status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Harapan tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melihat kerjasama ekonomi kedua-dua negara mampu dikembangkan mencakupi pelbagai bidang antaranya pembuatan, pelaburan, perkhidmatan serta kajian dan pembangunan (R&D).
Malah jelasnya, kerajaan turut berharap lebih banyak syarikat Jepun dapat membuka operasinya di Malaysia termasuk restoran-restoran Jepun yang berkualiti tinggi.
''Saya juga mahu kedua-dua negara ini dapat terus berkongsi idea dan pengetahuan dalam mengukuhkan kerjasama, perdagangan serta pelaburan.
''Bagi kita, hubungan dengan Jepun cukup diberikan keutamaan,'' katanya ketika berucap sempena sambutan 30 tahun penubuhan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun Malaysia (Jactim), di sini hari ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Terdahulu dalam majlis tersebut, Najib dan Dr. Mahathir serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura dan Presiden Jactim, Masato Nakamura menjawab empat soalan berhubung 'ramalan' keadaan semasa dan ekonomi Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Antara soalan itu adalah sama ada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Malaysia akan mencapai lebih AS$20,000 (RM65,200) dan apakah jumlah syarikat Jepun di Malaysia akan melebihi 2,000 buah menjelang 2023.
Keempat-empat jawapan itu kemudiannya disimpan dalam kapsul masa yang akan dibuka pada 2023.
Najib memberitahu, ketika Dr. Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada 30 tahun lalu, kini Malaysia memperoleh banyak manfaat daripada Jepun termasuk pertukaran idea dan pengalaman dan paling penting adalah penerapan etika kerja Jepun dalam budaya kerja rakyat tempatan.
''Lebih 30 tahun ini juga, banyak anak muda kita telah memasuki universiti-universiti di Jepun selain menghadiri latihan-latihan profesional dan bekerja di syarikat ternama Jepun. Untuk tempoh 1992 hingga kini, sebanyak 13,600 orang penuntut kita telah mendapat manfaat daripada dasar itu,'' ujarnya.
Walau bagaimanapun katanya, Dasar Pandang ke Timur bukan sekadar membantu Malaysia memahami 'rahsia' kejayaan Jepun tetapi turut menekankan tawaran terbaik Malaysia untuk negara itu.
''Khususnya, ia menarik perhatian kepada bagaimana Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan terbaik. Tahun lalu, pelaburan Jepun dalam sektor pembuatan kita mencecah AS$3.2 bilion (RM10.432 bilion), pelaburan tertinggi sejak 1980.
''Dan syarikat-syarikat Jepun seperti Panasonic, Ibiden dan Toyota telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dengan menghasilkan produk canggih seperti modul solar, peralatan komputer serta kereta berteknologi tinggi. Sepanjang tempoh membanggakan ini, Jactim telah memainkan peranan dalam menyokong iklim pelaburan Malaysia,'' jelasnya.
Atas kejayaan itu katanya, Malaysia mesti meningkatkan usaha untuk menjadi negara maju dengan memanfaatkan industri berasaskan pengetahuan selain mengembangkan kewangan Islam serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
''Industri berteknologi tinggi dan berasaskan pengetahuan akan memain peranan penting dalam transformasi serta pertumbuhan negara pada masa depan. Tetapi jangan kita lupa kepada sektor PKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
''Kita juga mesti mengambil peluang ke atas industri baharu dan industri yang berkembang pesat. Kini kita sudah pun memanfaatkan pasaran Sukuk dan menjadi pasaran Sukuk terbesar dunia. Kita juga sedang mengembangkan bidang-bidang baharu seperti pasaran halal manakala Tun Razak Exchange (TRX) bakal membantu mengubah landskap Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan serantau,'' katanya.

Sumber Utusan Malaysia
Sharing is caring ^_^

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...